Pelakon Ashraf Muslim, 30, dan Noor Dayana Lokman, 24, diraikan dengan penuh meriah seperti ‘kenduri kahwin’ dalam majlis pertunangan di rumah Dayana di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini, Sabtu.
Antara tetamu yang memenuhi rumah keluarga Dayana untuk melihat lebih dekat bakal pengantin.
Malah kehadiran Ashraf yang memakai sepasang baju Melayu putih dan bersamping ungu mencuri tumpuan ramai dan dilihat seolah-olah hendak bernikah lagaknya.
Bagaimanapun, pengacara Nasi Lemak Kopi ‘O’ dan Gadis Melayu di TV9 itu menjelaskan, majlis tersebut diadakan sedemikian kerana mereka turut melangsungkan majlis perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah di tempat dan hari yang sama.
“Pada mulanya kami tidak merancang untuk melakukan majlis perasmian serentak dengan majlis pertunangan tetapi setelah memikirkan majlis ini turut melibatkan saudara-mara, jadi saya rasa tidak salah untuk dilakukan sekali,” ujarnya yang turut menjemput ramai ahli keluarga dan sanak saudaranya.
Ashraf merupakan anak sulung daripada lapan adik-beradik. Antara ahli keluarganya yang hadir adalah bapanya dan ibu saudaranya, Fatimah Azil yang menyarungkan cincin pertunangan di jari manis Dayana. Ibu Ashraf telah meninggal dunia pada enam tahun lalu akibat kanser payu dara.
Ashraf dan Dayana akan bernikah pada 30 Ogos tahun ini sempena Hari Raya Puasa di Mekah.
0 comments:
Post a Comment